KUALA LUMPUR – Keberanian seorang lelaki berjaya menggagalkan cubaan seorang suspek melarikan diri selepas melakukan samun ragut di Flat Taman Puchong Intan dekat sini kelmarin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Faris Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa merupakan seorang wanita warga asing berusia 19 tahun yang telah diragut rantai emasnya.
“Suspek pada awalnya telah menghampiri mangsa dan bertanya sesuatu dalam loghat Bahasa Melayu namun tidak difahami mangsa.
“Seterusnya, suspek bertindak menarik rantai emas bernilai RM1,500 dari leher mangsa sebelum melarikan diri menggunakan motosikal jenis Honda Dash,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kejadian itu telah disaksikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang kebetulan berada di kawasan itu.
“Lelaki tersebut telah mengejar suspek menggunakan motosikal untuk menghalangnya daripada melarikan diri lebih jauh. Setelah itu, dia kemudian segera menghubungi polis untuk menyerahkan suspek kepada pasukan polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian,” tambahnya.
Suspek, seorang penganggur lelaki Melayu berusia 25 tahun telah ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
“Polis juga sedang menyiasat kemungkinan penglibatan suspek dalam kes-kes samun lain di kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau kes-kes samun lain untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa di talian 03-786 27222 atau terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamain di talian 019-858 2166. – MalaysiaGazette