KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri meminta supaya dikompaun susulan tular gambar Menteri Luar berkenaan merokok di kawasan larangan.
Sehubungan itu, kata Dr. Dzulkefly, pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan berjumpa Mohamad hari ini bagi menyerahkan notis kesalahan dan kompaun terbabit.
“Pejabat YBM (Menteri Luar) telah pun maklum.
“Jujurnya, YBM DS Mohamad Hasan sendiri minta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) isukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar,” katanya menerusi ciapan di laman sosial X beliau hari ini.
Sebelum ini, tular gambar Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki di premis awam dipercayai di sebuah restoran.
Susulan itu, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang.
“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 October yg lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa `Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang (no one is above the law),” ujarnya. – MalaysiaGazette