Gambar hiasan

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan RHB Banking Group (RHB) menjalin kerjasama dalam projek penyelidikan inovatif bagi merevolusikan sektor perbankan melalui transformasi digital.

Usaha ini memanfaatkan teknologi canggih seperti metaverse, kecerdasan buatan (AI) dan algoritma lanjutan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan kualiti perkhidmatan.

Projek penyelidikan ini dibiayai oleh Geran Penyelidikan RHB-UKM yang ditubuhkan pada 2023 di bawah Dana Wakaf RHB-UKM.

Penyelidikan yang akan berlangsung sehingga 25 Mac 2026 memberi tumpuan kepada impak teknologi digital terhadap interaksi pelanggan, ramalan kewangan dan kualiti perkhidmatan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB dan Pengerusi Dana Wakaf RHB-UKM, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, kerjasama itu adalah bukti komitmen mereka terhadap inovasi teknologi dalam sektor perbankan.

“Dengan meneroka metaverse, algoritma lanjutan dan AI, kami ingin memahami bagaimana teknologi ini dapat mempercepatkan transformasi digital serta mendorong pertumbuhan mampan dalam industri,” katanya.

Projek penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu:
1. Model Penglibatan Pengguna Metaverse untuk Perkhidmatan Perbankan di Malaysia:
Menggunakan pendekatan berasaskan budaya untuk memahami cara Metaverse boleh meningkatkan interaksi pelanggan.
2. Algoritma Fourier Transform dan Medan Elektrik Buatan: Menyediakan kaedah pengoptimuman untuk ramalan siri masa kewangan.
3. Revolusi Perbankan Metaverse: Meneliti faktor-faktor yang mendorong penerimaan pelanggan terhadap teknologi ini.
4. AI dan Nilai Pelanggan: Fokus kepada kualiti perkhidmatan dan keselamatan sebagai pemangkin ko-kreasi nilai dalam perkhidmatan perbankan.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan UKM, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul berkata, Dana Wakaf RHB-UKM telah menyumbang kepada penciptaan pengetahuan baharu di UKM.

“Penyelidikan ini akan memberi pemahaman lebih mendalam mengenai cabaran metaverse dan membantu merangka penyelesaian inovatif untuk transformasi digital sektor perbankan,” katanya.

Dana Wakaf RHB-UKM yang diasaskan pada 1997, telah berkembang daripada RM1.5 juta pada 2018 kepada lebih RM8 juta pada 2024. Inisiatif ini membolehkan akademia dan pelajar UKM meneroka penyelidikan dalam bidang analitik, teknologi digital, dan inovasi.

Melalui dana yang diterima ini, UKM dan RHB telah melaksanakan beberapa program seperti Persidangan APIEMS 2023, meningkatkan penyelidikan digital dan melantik Profesor Tersohor iaitu Profesor Dr. Christian M. Ringle dari University of Hamburg, Jerman.

Prof. Dr. Zafir Khan berkata UKM dan RHB akan terus meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam teknologi terkini, pendekatan berpusatkan pelanggan, dan penyesuaian terhadap landskap peraturan kewangan yang sentiasa berubah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here