Kakitangan UMT menunjukkan produk OptiFEED yang dikomersialkan.

PUTRAJAYA – Dalam usaha mengurangkan kos pengurusan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini giat menggerakkan aktiviti pengkormesialan produk-produk hasil intelek miliknya.

Naib Canselornya, Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, usaha yang digerakkan itu seiring dengan hasrat kerajaan agar universiti awam menjana pendapatan sendiri dan pengurangan 10 hingga 20 peratus peruntukan.

Pengurangan itu dinyatakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“UMT mempunyai lebih daripada 700 harta intelek dan produk berpotensi yang boleh dikomersialkan segera dengan Tahap Ketersediaan Teknologi dari skala 4 hingga 8,” katanya dalam sidang media inovasi universiti itu, hari ini.

Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim
Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim

Teks ucapan Mohd Zamri dibaca oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Marinah Mohd Ariffin.

Daripada 700 harta intelek berkenaan, UMT melancarkan OptiFeed iaitu produk rumusan makanan akuakultur yang mengandungi kandungan nutrien optimal yang diperlukan spesies-spesis akua.

Projek itu merupakan hasil penyelidikan menggabungkan sains dan teknologi dengan pendekatan inovatif dalam pemakanan akuakultur.

“OptiFeed akan membuka peluang yang luas dalam industri akuakultur serta memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sektor pertanian dan pemakanan negara,” katanya.

OptiFeed
OptiFeed

Dalam pada itu, Dr Aidilla berkata, UMT kini dalam proses perbincangan dengan MNR Multitech untuk pengeluaran OEM (pengeluar peralatan asal) bagi menampung keperluan pasaran.

Projek yang bermula 2018 digerakkan dengan dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak RM102,180 serta geran dalaman UMT.

Katanya,  berdasarkan kaji selidik yang dijalankan UMT, produk terdiri daripada Optifeed untuk tilapia merah, guarami (ikan kaloi) , udang galah dan spesis zebrafish kini mendapat permintaan dari penternak tempatan dan perniagaan kecil dan sederhana (SME).

“Keberkesanan OptiFeed adalah pengurangan kos makanan sebanyak 26 peratus berbanding pellet komersial untuk empat bulan ternakan tilapia,” katanya.

Antara keberkesanan OptiFeed ialah disesuaikan dengan keperluan pemakanan spesies akuatik yang khusus, mengoptimumkan keperluan nutrisi dan kos, serta  mengikut keperluan ikan atau udang tertentu.

Formulasi produk ditambah dengan sisa tumbuhan terpilih, menjamin pertumbuhan dan kemandirian optimal bagi spesies akuatik yang khusus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here