KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengesahkan wujud laporan salah laku pelajar yang dibuat kepada pihak polis semalam.
Universiti tersebut dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden yang membawa kecederaan kepada pelajarnya.
“UMT menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius atas insiden ini.
“UMT tidak dapat mengulas lebih lanjut, namun bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan menunggu hasil siasatan.
“Pada masa sama, UMT sedang menjalankan siasatan dalaman dan menegaskan setiap pelajar hendaklah sentiasa mematuhi Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024,” kata UMT dalam satu kenyataan, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Terengganu Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail hari ini berkata, pihaknya telah menahan 12 pelajar UMT bagi membantu siasatan kes serangan bergilir-gilir ke atas seorang pelajar lelaki hingga menyebabkan dia cedera.
Penahanan pelajar lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa anaknya berusia 20 tahun dipukul di asrama universiti, antara 1 pagi hingga 5 pagi, Ahad lalu.
Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan yang membawa hukuman lima tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette