Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada sidang media berkenaan Perasmian Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyangkal pendirian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyifatkan permohonan maaf daripada penaja sukan, Victor berhubung kontroversi ‘bendera terbalik’ sudah memadai.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebaliknya menuntut tindakan dan hukuman yang setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Apatah lagi, ujar beliau, bendera bendera Malaysia atau Jalur Gemilang adalah sesuatu yang besar maknanya, lebih-lebih lagi apabila dipakaikan pada sehelai jersi yang mewakili negara di arena antarabangsa.

“Tidak boleh. Permohonan maaf sahaja tidak memadai!

“Satu pengajaran yang tegas perlu diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab. Dalam hal ini, saya sependapat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mahu tindakan tegas dikenakan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Afnan Hamimi, negara ini mempunyai kedaulatan yang dipelihara dengan undang-undang dan simbol kedaulatan itu terletak pada bendera.

“Tidak ada maknanya kedaulatan sesuatu undang-undang itu jika ianya dianggap selesai hanya dengan permohonan maaf!” katanya.

Awal hari ini, media melaporkan Hannah enggan memanjangkan isu berhubung ‘bendera terbalik’ membabitkan pemain perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia dengan menyatakan permohonan maaf daripada Victor sudah cukup.

Hannah ketika ditemui di Kementerian Belia dan Sukan berkata, permintaan maaf sudah dilakukan dan beliau tahu pemain berkenaan tidak mempunyai niat untuk memalukan negara.

Zii Jia pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 di Hangzhou, China minggu lalu, mencetuskan kontroversi apabila dilihat memakai baju yang memaparkan bendera Malaysia secara terbalik ketika menentang pemain Taiwan, Chou Tien-chen.

Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor Malaysia mengeluarkan permohonan maaf dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here