Seekor buaya tembaga seberat 400 kilogram ditangkap di Sungai Malim dekat Kampung Tengah di sini tengah malam tadi.

MELAKA – Ratusan penduduk dan pengguna jalan raya di Jalan Klebang di sini ibarat ‘berpesta’ menyaksikan pihak berkuasa menangkap seekor buaya tembaga seberat 400 kilogram (kg) di Sungai Malim dekat Kampung Tengah di sini tengah malam tadi.

Buaya jantan sepanjang 4.3 meter itu dijerut oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kira-kira pukul 10 malam sebelum berjaya dinaikkan dua jam kemudian.

Penangkapan buaya tembaga terbesar selepas tiga spesies sama ditangkap sebelum ini melegakan penduduk kerana reptilia itu dipercayai telah membaham beberapa ekor kambing beberapa bulan lalu.

Pengarah Perhilitan negeri, Petra Sulai berkata, 12 anggotanya mengambil masa lebih dua jam untuk membawa naik buaya sepanjang 4.3 meter itu ke darat.

“Operasi tangkapan bermula jam 6 petang sebelum berakhir 12 tengah malam tadi menggunakan kaedah tanjur serta dibantu 12 kakitangan yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam penangkapan buaya.

“Ini merupakan buaya keempat ditangkap di lokasi sama dengan anggaran berat 400 kg menjadikannya yang terbesar pada tahun ini berbanding tiga lagi separuh dari saiz ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Petra berkata, Sang Bedal yang diburu sejak Mei lalu selepas membaham tiga ekor kambing milik penternak di Kampung Tengah.

“Reptilia itu telah dihantar ke kawasan konservasi di lokasi sementara malam tadi untuk pemeriksaan kesihatan,” jelasnya.

Sejak malam tadi, tular beberapa video dan gambar ketika operasi membawa naik buaya jantan itu ke darat.

Orang ramai turut memuji kecekapan anggota Perhilitan yang berjaya menangkap reptilia yang dianggap saiz dan panjangnya seperti sebuah bas mini.

Pada 15 Mei lalu, lebih 2,500 penduduk yang mendiami kampung sepanjang Sungai Malim di sini, termasuk Pulau Gadong menyuarakan kebimbangan dengan kehadiran lima ekor buaya di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

Ia selepas seekor buaya dipercayai membaham kambing betina milik penduduk ketika haiwan itu sedang meragut rumput di tepi sungai berkenaan. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

@malaysiagazette

Seekor buaya tembaga yang membaham kambing penduduk di sepanjang Sungai Mualim, Kampung Tengah, Melaka akhirnya berjaya ditangkap.

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here