KUALA LUMPUR – Apa yang harus dilakukan jika cermin kereta anda pecah terkena batu terbang aktiviti memotong rumput?
Seorang warganet telah berkongsi dia terkejut melihat cermin keretanya terpecah selepas menjamu selera di kedai.
Semasa kejadian, seorang pekerja yang bertugas memotong rumput pula senyum dengan segan dan warganet tersebut segera menyedari apa yang berlaku.
Oriental Daily melaporkan, mangsa meminta pekerja berkenaan memaklumkan nombor telefon majikannya, tetapi pihak yang dihubungi segera meletak telefon sebaik saja mendengar apa yang berlaku.
Beberapa hari kemudian, pekerja yang memotong rumput telah menghubungi mangsa dan memberitahu bahawa dirinya telah diarahkan majikan untuk membayar pampasan.
Mengambil kira keadaan pekerja asing tersebut yang kurang mampu, mangsa memilih untuk menanggung sendiri semua kos baik pulih, tetapi menasihatkan pekerja tersebut mencari majikan lain yang lebih bertanggungjawab.
Kata mangsa, beliau tidak faham kenapa majikan tidak membeli insurans dan menolak tanggungjawab kepada pekerja apabila berlaku kejadian tidak diingini.
Katanya, orang ramai yang berdepan situasi serupa harus bertenang, merakamkan bukti dan mendapatkan maklumat pekerja dan majikannya.
Jika pekerja dan majikan tidak dapat dikenal pasti, mangsa perlu menghubungi pihak berkuasa tempatan, tetapi tidak harus menyusahkan pekerja. – MalaysiaGazette