Jauteh Dikun

KOTA KINABALU – Isu perobohan rumah milik balu anggota polis yang terkorban dalam Tragedi Tanduo telah dieksploitasi dan dimanipulasi pihak tertentu bagi melemahkan operasi perobohan rumah setinggan pendatang haram di Semporna yang sedang dilaksanakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, rumah yang dimaksudkan itu sebenarnya milik ayah kepada balu tersebut dan tidak didiami oleh wanita itu, sebaliknya didiami oleh ahli keluarganya.

Beliau turut menjelaskan tiada perancangan untuk merobohkan rumah berkenaan kerana operasi hanya menyasarkan rumah setinggan pendatang haram bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

“Kami mendapati isu ini tidak benar, balu berkenaan tidak tinggal di rumah berkenaan…penama ini (balu itu) tinggal di daratan dan punyai rumah sendiri. Pihak berkuasa juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan ke atas individu berkenaan.

“Rumah milik warganegara Malaysia dijumpai semasa operasi ini tidak akan dirobohkan, sejumlah 3,257 rumah yang telah dirobohkan dalam operasi…tiada satu pun rumah milik warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Sitti Bandorah Mahalil iaitu balu kepada Sarjan Abd Azis Sarikon yang terkorban dalam Tragedi Tanduo pada 2013, mendakwa rumah mereka di Kampung Alab, sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporna, menjadi antara kawasan disasarkan untuk dirobohkan.

Jauteh berkata, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna telah bertemu dengan keluarga tersebut bagi mengetahui keadaan sebenar dan wanita berkenaan menyatakan mungkin ada sedikit salah faham ketika penerangan diberikan tentang kawasan yang terletak dalam kawasan Taman-Taman Sabah itu.

“Mereka ini (keluarga itu) berada di sana sejak tahun 80an, itu sebab kita tidak meneruskan operasi ini (di kawasan itu),” katanya sambil menegaskan pihak kerajaan sentiasa menjaga kebajikan balu itu.

Beliau berkata, polis sedang meneliti perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan kepada pihak yang mengeksploitasi dan memanipulasi isu perobohan rumah setinggan pendatang haram. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here