KUALA LUMPUR – Cuaca yang tidak menentu dengan panas dan hujan berselang-seli dilaporkan menyebabkan jumlah pesakit yang mengalami selesema meningkat.
Keadaan itu juga didorong oleh trend pelancongan ke luar negara dan pelbagai aktiviti sosial yang dijalankan pada hujung tahun.
Presiden Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan Tradisional Cina dan Akupunktur Malaysia, Ng Po Kok berkata, cuaca yang tidak menentu telah menyebabkan jumlah pesakit selesema meningkat sejak dua minggu lalu.
Beliau berkata, adalah lazim untuk menyaksikan peningkatan jumlah pesakit pada hujung tahun, khususnya mereka yang mengalami sakit tekak dan hidung berhingus.
Katanya kepada China Press, golongan yang menggemari makanan jenis mala juga lebih mudah mengalami kepanasan badan dan selesema.
Sementara itu, doktor keluarga, Dr. Kong Why Hong berkata, ramai orang gemar melancong ke negara sejuk seperti Jepun pada akhir tahun dan mereka akan jatuh sakit selepas kembali ke tanah air yang bercuaca panas.
“Ada juga yang sakit tekak kerana mereka makan terlalu banyak makanan goreng dan makanan mala semasa melancong,” katanya.
Selain memastikan pengambilan makanan seimbang, Dr. Kong juga menasihatkan orang ramai untuk memastikan rehat yang mencukupi semasa melancong. – MalaysiaGazette