KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengadakan pertemuan dengan Presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi sambil memberi bayangan ‘sesuatu yang besar’ bakal berlaku.
Baginda yang pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, ia sesuatu yang belum pernah kelab itu lakukan sebelum ini selain menyifatkan satu penghormatan dapat bertemu dengan Naseer yang juga Pengerusi Qatar Sport Investment.
“Sesuatu yang belum pernah kami lakukan sebelum ini,” kata Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan di laman X, HRH Crown Prince of Johor.
Kenyatan sama turut disiarkan di laman Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers.
Untuk rekod, JDT yang memegang status pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M) mempertahankan kejuaraan Liga Super selama 10 tahun berturut-turut sejak 2014 selain empat kali menjulang Piala FA dan Piala Malaysia.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Menerusi pertemuan itu, Infantino bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dalam tiga aspek termasuk dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan. – MalaysiaGazette