Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Parti mana yang akan bertanding di kerusi Parlimen Muar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang dimenangi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada pilihan raya akan datang, bakal diputuskan dalam Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Sabtu ini.

Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, konvensyen berkenaan menjadi platform terbaik dan sesuai dalam membincangkan perkara itu.

“Antara kerusi yang akan diputuskan adalah kesediaan parti Amanah Johor untuk berbincang bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) berkenaan kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini diberikan secara ihsan kepada parti MUDA di Johor.

“Selain itu, konvensyen juga akan khusus tertumpu kepada hubungan kerjasama antara Parti Amanah Johor dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Johor dalam mendepani pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, konvensyen kali ini juga akan mengetengahkan isu berkaitan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh yang telah diperjuangkan selama ini.

Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, seperti yang telah disuarakan parti berkenaan, konvensyen berkenaan bakal menjemput rakan kerjasama ketika ini daripada komponen parti.

Konvensyen Amanah Johor bertempat di sebuah resort di Skudai, di sini, akan dirasmikan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Pada 12 Disember lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad membangkitkan isu berkenan dua kerusi MUDA tersebut dan mencadangkan supaya diserahkan kepada PH untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Dzulkefly berkata, pemberian kedua-dua kerusi terbabit dirasakan tepat kerana sebelum ini kerusi berkenaan dikosongkan untuk diberikan laluan kepada MUDA.

Menurut beliau, ketika itu MUDA merupakan rakan sekutu politik semasa PRU lalu dan PRN yang berlangsung sebelum ini.

Amanah Johor dilaporkan kerap menuntut penubuhan segera kerajaan Perpaduan di negeri itu sebagai menyahut seruan penubuhan kerajaan di peringkat Pusat.

Gesaan dibuat agar wakil parti itu serta PH perlu menjadi sebahagian kepimpinan kerajaan negeri, sungguhpun BN kini mendominasi dengan 40 kerusi DUN.

Pada PRN Johor Mac 2022, BN memperoleh kemenangan dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 13 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula hanya memenangi tiga kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (dua) dan Pas (satu).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here