PUTRAJAYA— Laman sesawang JomLapor kini diperkenalkan sebagai platform baharu bagi memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, laman sesawang ini membolehkan orang ramai melaporkan kesalahan berkaitan produk dan aktiviti merokok dengan lebih mudah dan mesra pengguna.

“Pengadu kini boleh membuat laporan secara anonim, menyertakan bukti bergambar dan butiran lokasi tanpa mendedahkan identiti mereka.

“Setiap laporan yang diterima melalui JomLapor akan disusuli dengan tindakan bersepadu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi penguatkuasaan lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran laman sesawang itu di Kompleks Kejiranan Presint 16, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, pendekatan ini bertujuan untuk memastikan kerajaan melaksanakan undang-undang dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Antara kesalahan yang boleh dilaporkan termasuk pengiklanan atau promosi produk merokok, penjualan di kawasan terlarang seperti institusi pendidikan dan pasar jualan, serta penjualan kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

“Laman sesawang JomLapor melengkapkan inisiatif lain seperti JomQuit, yang membantu perokok berhenti merokok, dan program Jom Sihat, yang mendidik masyarakat tentang bahaya merokok, khususnya pelajar sekolah.

“Selain itu, KKM juga bertegas dengan penguatkuasaan undang-undang ini kepada semua pesalah dan tidak akan bersifat dua darjat.

“Usaha ini selari dengan visi Malaysia menjadi negara bebas rokok menjelang 2040, satu sasaran yang memerlukan sokongan seluruh lapisan masyarakat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here