Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selepas dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima gagal isytihar pendapatan kepada LHDN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk merayu keputusan pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semakan dalam laman web mahkamah menyatakan, notis rayuan tersebut perlu difailkan dalam tempoh dua minggu bermula dari tarikh keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembebasan Rosmah daripada kesemua 17 pertuduhan.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri berkata, pihak pendakwaan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada prosiding itu, Rosmah turut diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Mohamed Reza Abdul Rahim, Ravijan Nambiar dan Joshua Tay.

Sementara itu, Firoz Hussein ketika ditemui wakil media berkata, pasukan pembelaan amat teruja dan gembira kerana isteri bekas Perdana Menteri itu dibebaskan sepenuhnya daripada semua pertuduhan.

Sambil menyifatkan bahawa keadilan terhadap anak guam akhirnya terlaksana, peguam itu berkata, Rosmah bertahan selama enam tahun menghadapi pertuduhan sejak didakwa pada 2018.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Rosmah, 73, daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here