Ahli Panel merangkap Pengerusi Tetap MBM dan Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim bercakap pada Konvensyen Belia Kebangsaan sempena Hari Belia Negara 2018 di Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 MEI 2018
ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Ujian awal menunjukkan pencemaran Sungai Kelaik di Gua Musang, Kelantan akibat aktiviti perlombongan boleh menyebabkan risiko kesihatan dan penyakit serius termasuk kanser, ekoran pendedahan kepada logam berat seperti kromium.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim menggesa arahan henti kerja perlombongan di sungai itu yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dipatuhi segera dan pemantauan rapi perlu diteruskan.

Ujar beliau, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau juga akan memastikan pemeriksaan menyeluruh terhadap kualiti air Sungai Kelaik dilakukan segera.

Selain itu, katanya, beliau juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan ujian darah terhadap penduduk yang terkesan.

“Dalam masa sama, saya juga akan memastikan bekalan air bersih alternatif disediakan kepada penduduk Kampung Kelaik sehingga sungai dipulihkan sepenuhnya.

“Saya juga akan mengadakan sesi dialog terbuka bersama komuniti Kampung Kelaik untuk mendengar aduan dan kebimbangan mereka berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Syahbuddin menggesa semua pihak yang terlibat termasuk agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tanggungjawab dengan telus dan tegas.

Ujar beliau, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan nyawa rakyat dan masa depan generasi akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan syarikat perlombongan terlibat memulihkan kerosakan yang disebabkan oleh aktiviti mereka dan bertanggungjawab penuh terhadap kesan pencemaran yang ditinggalkan.

“Jika tiada pematuhan, saya tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi demi rakyat Gua Musang,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial keadaan Sungai Kelaik yang bertukar menjadi merah seolah-olah berkarat yang didakwa penduduk disebabkan oleh aktiviti perlombongan bijih besi.

Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad mengarahkan aktiviti perlombongan oleh dua syarikat di sungai tersebut dihentikan kerana dikhuatiri menyebabkan pencemaran sungai terbabit.

Nik Nazmi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pematuhan kedua-dua syarikat terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here