KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan tidak ada apa yang boleh dibanggakan berkenaan prestasi Pakatan Harapan (PH) selepas membentuk kerajaan sehingga kini.
Malah, Ketua Penerangan MUDA Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni turut mempersoalkan reformasi yang dilaung-laungkan PH sebelum ini yang disifatkan kini hanya sekadar slogan.
Ujar beliau, rakyat yang bijak menilai akan bertanya apa yang sudah terjadi kepada pemimpin yang dulunya bersumpah untuk membawa perubahan, tetapi kini selesa dengan kuasa yang ada.
“Dahulu pemimpin Pakatan Harapan lantang bersuara. Mereka menentang rasuah, melaungkan reformasi dan berjanji membawa perubahan. Tetapi kini, selepas berkuasa, suara mereka semakin diam membisu.
“Prinsip yang mereka pertahankan dahulu kelihatan semakin pudar. Rakyat melihat, rakyat memerhati. Episod demi episod menjadi bukti.
“Kes Zahid Hamidi dilepaskan begitu sahaja. Najib Razak & 1MDB masih menjadi simbol kemelut negara, Musa Aman kembali ke pentas politik dan diberi jawatan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 dan pelbagai skandal lain terus berlaku.
“Isu seperti 5G, skandal rasuah Kerajaan Sabah, lesen media sosial yang tidak masuk akal, Akta Sakit Hati, serta penindasan terhadap suara aktivis seperti Fahmi Reza,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Shah Fariq Aizal mengingatkan PH sokongan rakyat bukan milik mutlak mana-mana parti dan sekiranya pemimpin gagal menunaikan amanah rakyat, mereka akan dihukum.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin PH perlu bermuhasabah dan tidak sesekali memikirkan kuasa yang ada hari ini akan kekal selama-lamanya.
“Kalau begini keadaannya, jangan terkejut penyokong kubu kuat mereka memilih untuk keluar, tidak bersama mereka dan mencari parti politik lain. Rakyat sudah penat ditipu dengan janji manis kosong,” katanya.
Tambah beliau, rakyat berhak mendapat kerajaan yang berprinsip, berintegriti dan mengutamakan kepentingan mereka yang mana reformasi bukan sekadar cakap-cakap politik.
“Reformasi adalah tanggungjawab. Jika gagal, rakyat akan mencari pemimpin baharu yang benar-benar mampu melaksanakannya.
“Kuasa tanpa prinsip akan merosakkan negara. Jangan salahkan rakyat jïka mereka mencari jalan lain untuk menyelamatkan masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette