Penceramah bebas Mohd. Masri Mohd. Ramli atau lebih dikenali Masri Ramli. - Foto: FB Masri Ramli

KUALA LUMPUR – Penarikan balik tauliah mengajar Mohd Masri Mohd Ramli disebabkan penceramah bebas berkenaan didapati melanggar Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, perkara itu selepas siasatan terperinci dijalankan oleh Jawatankuasa Kecil Aduan dan Siasatan yang menerima laporan daripada orang awam berhubung salah laku Mohd Masri selaku pemegang tauliah mengajar.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Bagaimanapun, Mohd Masri telah mengemukakan rayuan bertulis berhubung penarikan balik tauliahnya dan Jawatankuasa Rayuan akan menimbang dengan teliti sebelum membuat keputusan selaras dengan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

Tegas beliau, tindakan siasatan dan keputusan penarikan balik tauliah mengajar tersebut dilaksanakan dengan teratur mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“Justeru, MAIS menasihatkan individu berkenaan dan semua pihak untuk menghormati proses rayuan yang sedang dilaksanakan menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

“Apa-apa keterangan atau penjelasan berhubung dengan penarikan tauliah tersebut hendaklah dibuat oleh individu tersebut mengikut saluran yang sewajarnya melalui rayuan yang telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan dan bukannya dengan menularkannya di media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz juga menggesa semua pemegang tauliah mengajar agama Islam untuk mematuhi dan tidak melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan.

Tegas beliau, mana-mana pihak termasuk pemegang tauliah  mengajar yang melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dalam hal ini, jelasnya jika kesalahan itu dilakukan oleh pemegang tauliah mengajar, tauliah mengajarnya juga boleh ditarik balik menurut Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

“Mana-mana orang yang berkelayakan boleh memohon tauliah mengajar bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau serta melaksanakan dakwah di negeri Selangor.

“Namun, semua pihak hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 serta fatwa yang telah diwartakan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Masri menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan beliau sudah menerima surat mengesahkan penarikan tauliah mengajar agama di Selangor minggu lalu.

Menurut Mohd Masri, ia rentetan soal siasat antara beliau dengan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 7 November lalu, yang turut menyentuh mengenai isu istighathah dan tauhid tiga yang dibincangkan beliau menerusi laman sosial Facebooknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here