Mahirah Mohd Yusof dibawa pegawai polis ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menipu berkaitan penawaran anak angkat. FOTO NORLIZAH ABAS, 20 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas jururawat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan bayi untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Mahirah Mohd Yusof, 40, didakwa memperdayakan N. Jay Letchumy Naidu, 38, dengan menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat sehingga mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM15,950 kepada tertuduh di sebuah premis di Kepong Baru, di sini di antara 20 Januari dan 7 Jun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Faris Ezani yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan empat orang anak selain menghidap penyakit kencing manis dan anemia.

Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Februari tahun depan untuk sebutan kes.

Pada prosiding hari ini, peguam Reenajit Kaur Golen hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast