KUANTAN – Menjelang cuti persekolahan minggu depan, orang ramai yang mahu membawa keluarga bercuti dan melakukan aktiviti air dinasihati peka dengan keselamatan diri dan ahli keluarga mereka.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mengingatkan masyarakat bahawa musim Monsun Timur Laut (MTL) masih belum berakhir.
“Jika membawa anak-anak ke pinggir pantai, semua warga komuniti dinasihat mengelak daripada berada berhampiran dengan laut atau gigi air pantai.
“Ini kerana keadaan ombak masih bergelora dan angin masih bertiup kencang,” katanya kepada media hari ini.
Tambahnya, cuaca buruk mungkin boleh melanda negeri ini meskipun Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat tertumpu kawasan di sekitar Borneo.
“Jangan kita leka kemungkinan boleh tejadi juga di Semenanjung Malaysia terutamanya di pantai-pantai di Pahang seperti Pantai Teluk Cempedak, Pantai Sepat, Kuantan; pantai di Pekan dan Pantai Hiburan di Rompin dan sebagainya,” tambahnya lagi.
Dua hari lalu, METMalaysia meramalkan luruan monsun dijangka berlaku berterusan sehingga 24 Disember depan yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung, Sarawak, Sabah serta WP Labuan dalam tempoh berkenaan.
Manakala Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di Sarawak dan Sabah berkuat kuasa pada 19 hingga 22 Disember. – MalaysiaGazette