Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa DAP, Syahredzan Johan berpandangan suatu moratorium wajar dikenakan ke atas siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233(1) Akta 588 berkait karya satira dan parodi.

Jelas Ahli Parlimen Bangi itu, ia sementara menunggu proses perkenan diraja, pewartaan dan penentuan tarikh berkuat kuasa bagi pindaan-pindaan di bawah rang undang-undang (RUU) akta tersebut.

Ujarnya, memandangkan karya satira dan parodi masih terangkum bawah elemen ‘palsu’ dalam Seksyen 233(1) Akta 588 buat masa ini dan pindaan-pindaan yang diluluskan tidak mempunyai kesan retrospektif, moratorium yang dicadangkan itu adalah untuk menghormati penzahiran niat perundangan (legislative intention) dalam meluluskan RUU pindaan tersebut.

“Seperti umum sedia maklum, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 Disember 2024 dan Dewan Negara pada 16 Disember 2024.

“Kelulusan Parlimen bagi RUU ini memberikan mesej jelas mengenai keperluan melindungi satira dan parodi. Akan tetapi, pindaan-pindaan tersebut masih belum berkuat kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan kontroversi melibatkan aktivis Fahmi Reza yang disiasat polis susulan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan terhadap Fahmi Reza dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas laporan diterima pihaknya pada kelmarin.

Jelasnya siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 itu dilakukan selepas perkara itu menyentuh sensitiviti berkait isu 3R (raja, kaum dan agama) yang mengganggu keselamatan dan keharmonian negara.

Sementara itu, Syahredzan berkata, adalah jelas keputusan kerajaan untuk membentangkan RUU pindaan terhadap Akta 588 yang antara lain mengeluarkan satira dan parodi daripada elemen ‘palsu’ dalam Seksyen 233(1), adalah suatu langkah yang diperlukan dan akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas untuk karya seni dan sastera.

Ia katanya, selepas Fahmi Reza berpandangan grafik yang disiasat adalah satu bentuk satira dan satira tidak wajar dijenayahkan.

“Pihak berkuasa juga diingatkan bahawa setiap rakyat Malaysia berhak ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

“Hak ini hanya boleh disekat melalui undang-undang sekiranya ia menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here