Tangkap layar daripada video tular kenderaan jenis Toyota Corolla Cross menghalang tugas ambulans di Jalan Klang-Banting, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda sanggup menghalang tugas ambulans di Jalan Klang-Banting, Kuala Langat, kelmarin kerana tidak mahu terlepas penerbangan ke luar negara.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, pemandu Toyota Corolla Cross yang berusia dalam lingkungan 20-an enggan memberi laluan kepada ambulans walaupun telah dihon dan diarah melakukannya dengan menggunakan pembesar suara sebanyak tiga kali.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pemandu ambulans pada ketika itu dalam perjalanan dari Klinik Kesihatan Jenjarom ke Hospital Banting bagi satu kes kecemasan.

“Pihak ambulans yang ketika itu sedang membawa pesakit telah memasang lampu mentarah dan siren kecemasan.

“Namun, pemandu SUV itu masih lagi enggan memberi kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Akmalrizal, pihaknya berjaya mengesan pemilik kenderaan itu yang merupakan bapa kepada pemandu berkenaan di Teluk Bunut, Banting, Kuala Langat, jam 11.30 malam, semalam.

“Siasatan mendapati pemandu bertindak sedemikian kerana kesuntukan masa untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dia bimbang terlepas penerbangan untuk ke China,” ujarnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menghalang laluan ambulans ketika bertugas.

Mohd Akmalrizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan menyalurkannya ke bolis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Taneswaran di talian 012-6708561 atau 03-31872222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here