Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selepas dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima gagal isytihar pendapatan kepada LHDN di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), notis rayuan itu difailkan hari ini di pejabat pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut kenyataan itu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan isteri bekas Perdana Menteri daripada kesemua 17 pertuduhan yang dihadapinya.

Semakan dalam laman web mahkamah menyatakan, notis rayuan tersebut perlu difailkan dalam tempoh dua minggu bermula dari tarikh keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Dalam keputusan itu, Hakim K. Muniandy membebaskan Rosmah, 73, selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Isteri bekas Perdana Menteri didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here