KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan bersama seorang warga Thailand berusia 38 tahun dalam satu operasi yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9, Briged Tenggara.
Penahanan ini dibuat semasa sekatan jalan raya di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan, jam 6.15 petang, semalam dan menemui 77 biji pil Epam dan lapan biji pil Yaba bernilai sebanyak RM13,090.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua dadah tersebut telah disembunyikan di dalam beg silang warga Thailand berkenaan yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
“Kami turut menjumpai sebilah pisau di dalam beg silang milik remaja lelaki, yang juga pemandu kenderaan yang mereka naiki,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes sedang disiasat di bawah beberapa akta, termasuk Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Kedua-dua suspek dan semua barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
“Penahanan ini membuktikan kesungguhan kami dalam menangani penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kawasan sempadan.
“Kami juga akan terus mempergiatkan usaha melalui Op Taring Wawasan bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette