KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 barangan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Hari Krismas tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan skim harga berkenaan akan berkuatkuasa selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember ini.
“Barang-barang tersebut adalah ayam tua hidup (di Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar, ubi kentang import China dan babi hidup (peringkat ladang sahaja).
“Manakala penguatkuasaan kawalan harga maksimum bagi kepak ayam, daging babi bahagian perut dan daging babi bahagian daging dan lemak akan fokus kepada bekalan di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas di UTC Sentul, di sini, hari ini.
Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.
Menurut Armizan, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan telah ditentukan berdasarkan indikator seperti ketersediaan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan faktor-faktor lain.
Tambah beliau, pihaknya turut mengambil kira pandangan rakan strategik, iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri berkaitan.
Armizan berkata, kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan terkawal sentiasa mencukup sepanjang pelaksanaan skim itu.
“Saya mahu memberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap para peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim yang ditetapkan.
“Pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara juga akan ditugaskan di lokasi seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak beretika.
“Jadi, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai boleh menyemak harga maksimum yang ditetapkan untuk skim perayaan Krismas di peringkat pemborong dan peruncit melalui laman web rasmi KPDN. – MalaysiaGazette