IPOH – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang guru wanita berusia 43 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak hadir ke sekolah sejak 10 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita terbabit dikenali sebagai Nur Nazalishah Ahmad beralamat di Jalan Lapangan Harmoni, Taman Lapangan Harmoni dekat sini.
Menurutnya, wanita terbabit dianggarkan berketinggian 160 sentimeter dengan berat 65 kilogram serta berkulit kuning langsat.
“Laporan kehilangan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu dibuat abang wanita terbabit di Balai Polis Tampoi, Johor pada 18 Disember lalu,“ katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, usaha mencari mangsa masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500,” katanya.- MalaysiaGazette