SUBANG JAYA – Kerajaan meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan sebagai usaha dalam menjaga kebajikan mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dibuat melalui keputusan Jemaah Menteri semalam yang bersetuju meneruskan PKKP.
“Sebagai komitmen bagi menjaga kebajikan pesara dan penerima pencen terbitan, kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember, bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP.
“Ia bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada tahun lepas, kerajaan mengumumkan untuk meneruskan bantuan PKKP bagi tempoh Januari hingga Disember ini kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan.
Pemberian PKKP itu adalah sebagai kesinambungan daripada bantuan yang mula diberikan pada Julai 2023.
Pada masa sama, Anwar memaklumkan, langkah itu adalah bukti keprihatinan Kerajaan Madani selaras dengan konsep Ihsan.
Ujarnya, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut membabitkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
Katanya lagi, amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026. – MalaysiaGazette