Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr. Aris Dwi Andika bercakap dalam sidang media di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Siasatan mengenai kematian seekor kucing dalam keadaan menyayat hati terus mendapat perhatian pihak berkuasa dan masyarakat.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Dr. Arie Dwi Andika berkata, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kejadian itu.

“Benar insiden pertama dikaitkan dengan serangan anjing liar tetapi kejadian kedua menimbulkan tanda tanya kerana menunjukkan corak yang berbeza.

“Potongan pada bangkai kucing itu didapati terlalu kemas dan bersih seolah-olah dilakukan dengan alat tajam.

“Jadi, meskipun siasatan masih berjalan, ciri fizikal yang ada jelas menunjukkan ia bukan hasil serangan haiwan lain,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Tun Razak, di sini, hari ini.

Menurut Arie, kes ini berpotensi untuk disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Seksyen 30) dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana berkait dengan perbuatan khianat terhadap haiwan.

“Kita tidak boleh mengambil ringan kes ini kerana individu yang melakukan kekejaman terhadap haiwan berpotensi untuk melakukan perkara sama dan lebih berbahaya terjadi kepada manusia.

“Lihat sahaja kebanyakan kejadian penyeksaan haiwan melibatkan pelaku bawah umur seperti insiden membakar kucing di Kajang dan anjing di Johor dan mereka tidak boleh dikenakan hukuman kerana terlindung di bawah akta kanak-kanak,” tambahnya.

Beliau menyeru pihak universiti untuk bekerjasama dalam melaksanakan pengesanan bukti bagi membersihkan nama universiti serta mendapatkan keadilan bagi haiwan berkenaan.

“Pengesanan bukti ini perlu dimulakan dengan rujukan rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mendapatkan visual jelas, siapa individu terakhir yang memegang haiwan berkenaan.

“Jejak awal ini penting untuk memastikan siasatan dijalankan dengan sahih dan tidak hanya berdasarkan andaian,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) gagal menjejak pihak tertentu kerana mendakwa bukti fizikal seperti bangkai haiwan berkenaan telah dilupuskan.

“Analisis klinikal perlu dijalankan bagi menentukan sama ada kematian itu betul berpunca akibat serangan haiwan liar atau tidak.

“Oleh itu, tindakan segera perlu diambil untuk menghentikan perbuatan kejam ini dan memastikan ia tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here