ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mematahkan cubaan menyeludup masuk daging wagyu bernilai RM18,800 ke negara ini selepas menahan seorang lelaki di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini semalam.
Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) melakukan pemeriksaan sebuah kereta dipandu lelaki terbabit pada pukul 11 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan menemukan 21.4 kilogram daging di dalam tiga kotak itu yang diletakkan di bahagian belakang di kereta. Barangan itu dianggarkan bernilai RM18,832 dibawa masuk tanpa permit import MAQIS di laluan penumpang kenderaan ringan.
“Hasil pemeriksaan mendapati daging wagyu itu juga dibawa masuk tanpa sijil kesihatan veterinar dan sijil pengesahan halal.
“Pemandu berusia 45 tahun dan kenderaan terbabit ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Edie Putra berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan
Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
Menurutnya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal,” katanya.- MalaysiaGazette