Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bercakap kepada media ketika sidang media bersama Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri di Grand Ballroom, Dorsett Grand, Subang Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 DISEMBER 2024.

SUBANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan terdapat pendakwaan dalam beberapa kes yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai cacat, memandangkan ia dibuat secara terburu-buru.

Beliau yang mengulas mengenai pembebasan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram berkata, pertuduhan terhadapnya dalam tempoh itu digambarkan dibuat ‘penuh racun dan permusuhan’.

Anwar turut mengulangi penafian pembabitan dalam apa jua kes Rosmah, seperti mana dilaporkan media semalam.

“(Kes dituduh disertai) dendam politik daripada pihak yang berkuasa ketika itu.

“Biarkan proses berjalan. Sebagai perdana menteri, saya mesti berjaga-jaga dengan apa yang saya katakan. Biarkan mahkamah tentukan. Saya ada pandangan sendiri, tetapi saya tidak boleh campur tangan,” katanya.

Pada Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perdana Menteri pada ketika itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Rosmah daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K Muniandy membenarkan permohonan isteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.

Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Tertuduh didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Keputusan Rosmah dilepas dan dibebaskan mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk NGO yang menyeru Anwar supaya menetapkan garis masa jelas bagi memisahkan fungsi pendakwa raya daripada Pejabat Peguam Negara.

Mereka juga mendakwa tempoh khidmat Peguam Negara dipengaruhi Perdana Menteri.

Pihak pendakwaan tangkas memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi merayu keputusan pembebasan Rosmah.

Katanya, keputusan itu jika dibiarkan tanpa penjelasan akan menjejaskan agenda reformis PH dan menghakis keyakinan orang ramai terhadap komitmen kerajaan dalam keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak bersetuju sekiranya aktivis sosial, Fahmi Reza ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa.

Katanya, beliau tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat.

Namun, beliau berkata jika perkara tersebut melibatkan isu sensitif seperti Raja-Raja Melayu atau agama, perkara itu wajar disiasat.

“Secara jujur, saya rasa bagi perkara ini, saya ingin memberitahu agensi-agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bahawa mengenai kritikan terhadap Perdana Menteri, biarkan sahaja.

“Mengenai Fahmi Reza, saya tidak bersetuju jika beliau dikenakan tuduhan atau ditahan,” katanya.

“Jika ia melibatkan kes berkaitan Raja-Raja Melayu, itu adalah di luar bidang kuasa saya.

“Majlis Raja-Raja tidak akan membenarkan mana-mana anggotanya ‘dinaikkan’ atau dihina kerana mereka tidak boleh memberi respons dan berada di luar politik,” ujarnya.

“Kita juga perlu ingat bahawa kadangkala, (terutama untuk isu) yang melibatkan bangsa atau agama, itu akan menjadi sukar, kerana jika kita membenarkan atau bertoleransi perkara tersebut, ia akan menyebabkan perpecahan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here