Tangkap layar dua kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di stesen LRT Tasik Selatan.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuat laporan polis berhubung kejadian gaduh dipercayai melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang Sri Petaling, tengah malam tadi.

Menerusi kenyataan, Prasarana menegaskan, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu-individu terlibat.

“Pihak pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil tindakan dalam meleraikan pergaduhan yang melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang / Sri Petaling sekitar jam 12 tengah malam tadi.

“Insiden ini telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta pada bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian tersebut. Pasukan polis bantuan telah membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan untuk mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya,” katanya.

Prasarana turut kesal dengan kejadian tersebut dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan serta kelakuan agresif di stesen termasuk di dalam tren.

“Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam sentiasa menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

“Kami juga menyeru kepada semua pengguna untuk menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan tengah malam tadi.

Rakaman itu memaparkan tindakan agresif kumpulan lelaki terbabit berada di luar sebuah tren LRT dengan kumpulan lelaki di dalam tren berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di stesen LRT Tasik Selatan

Polis siasat dua kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here