SHAH ALAM – Pelajar tahun akhir Perhubungan Awam UiTM Shah Alam melalui agensi PRoud Agency telah menganjurkan program keselamatan jalan raya bertemakan “Jaga Jarak, Jaga Nyawa” untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kampus.
Program ini dijalankan dengan kerjasama Polis Bantuan UiTM Shah Alam dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor.
Ketua Polis Bantuan UiTM, Deputi Superintendan Zakaria Ishak berkata, program seperti ini amat penting untuk meminimumkan insiden keselamatan jalan raya di kampus.
“Lebih 24,000 penonton dari seluruh Malaysia menyaksikan program ini secara maya.
“Apa yang menarik semasa program ini adalah sesi bual bicara bersama panel profesional yang mengupas isu keselamatan jalan raya, termasuk data terkini dan langkah-langkah pencegahan,” katanya.
Dalam pada itu, Asisten Superintendan Polis Harun Umar dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor berkata, sebanyak 175,511 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di Selangor sehingga November 2023.
“Daripada jumlah itu, kemalangan motosikal merupakan penyumbang utama.
“Statistik ini menjadi peringatan bagi semua pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan diri dan orang lain,” ujarnya.
Program berdurasi satu jam tiga puluh minit ini turut menampilkan sesi soal jawab interaktif, di mana peserta boleh berkongsi pandangan dan pengalaman mereka tentang keselamatan jalan raya.
Maklum balas positif yang diterima daripada penganjuran program ini menunjukkan betapa pentingnya menyedarkan generasi muda tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya sekaligus meningkatkan keselamatan kampus. – MalaysiaGazette