Seorang peserta khatan Lega selepas bersunat dalam Program Khatan Perdana Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Puteri di Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU- Sempena cuti persekolahan penggal kedua yang bermula semalam, seramai 100 peserta menyertai Program Khatan Perdana Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Puteri.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu julung kalinya diadakan bagi tahun ini melibatkan 70 kakitangan Hospital Pakar KPJ Puteri termasuk lima doktor pakar yang diketuai Pengarah Perubatan dan doktor Pakar Bius, Dr Md Ali Mohd Salleh.

Majlis dirasmikan oleh Setiausaha Eksekutif Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Datuk Abd Rashid Kasman.

Beliau berkata, program itu memberi manfaat kepada penduduk kampung dan sekitarnya terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Semua peserta dibiayai proses berkhatan oleh YPIP yang juga memberi insentif simpanan percuma Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)  bernilai RM 50 dan pembukaan akaun Tabung Haji secara percuma.

Bagi suri rumah, Maisarah Selamat Riadi, 41, membawa dua anak lelakinya untuk berkhatan.

“Saya dapat tahu mengenai program ini melalui sekolah. Memang dah niat nak hantar bersunat cuti sekolah ini.

“Ambil peluang, ada kawan-kawan dia (anak-anak) dan suasana lebih meriah,” kata ibu kepada Ahmad Fayyadh, 9, dan Aidan Rayyan Ahmad Imran, 7.

Buat Ahmad Fayyadh berkata, selepas bersunat berasa gembira.

“Mula-mula takut, nak nangis, saya jerit tapi lepas bersunat, saya rasa gembira. Sebab cepat dan doktor baik,” katanya.

Buat pemandu lori, Fadzli Zakri, 36, membawa dua anaknya untuk bersunat tanda sokongan kepada program.

“Ikutkan nak bawa ke klinik je, tapi ada program ini, rasa untuk turut serta.

“Kedua- dua anak saya suka dapat sama-sama dengan rakan-rakan lain, jadi rasa takut tu hilang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here