PASIR SALAK – Seorang lelaki hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bermandi-manda bersama rakan-rakannya di tali air Jalan Utama Changkat Lada, Kampung Gajah di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa berusia 39 tahun yang berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Melaka itu telah pulang ke kampung halamannya di Changkat Lada untuk bercuti.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut pada pukul 2.47 petang.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, seorang anggota polis berpangkat Koperal disyaki telah lemas di tali air sewaktu mandi bersama rakannya berhampiran dengan tali air pintu gerbang Changkat Lada.
“Mangsa dikatakan keletihan dan cuba ke tebing namun arus deras menghanyutkannya.
“Anggota membuat pencarian dengan menyusuri tebing di sepanjang tali air yang mempunyai kedalaman dianggarkan empat meter.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Intan terbabit dalam operasi tersebut.
Katanya, anggota polis terbabit dipercayai baru sahaja selesai menghadiri majlis reunion Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.– MalaysiaGazette