KUALA LUMPUR – Bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong berasa pelik kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen pada Januari depan.
Kata Boon Heong, ini kerana Bin Shen telah membuktikan seorang jurulatih yang berkaliber dan berjaya menjalankan tanggungjawab serta tugasnya dengan begitu baik.
Ujarnya, Bin Shen juga dapat melahirkan beregu lelaki terbaik dunia seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beberapa pasangan lagi.
“Dia adalah seorang jurulatih yang bagus dan nampak bersungguh. Dekat BAM, dia pun sudah berjaya melatih beberapa beregu lelaki yang bagus, malah berjaya bawa beregu lelaki juara dunia (Aaron-Wooi Yik).
Selain itu, Boon Heong juga berkata, ketika ini terdapat beberapa beregu lain di dalam BAM yang sedang meningkat naik dan itu adalah satu petanda yang amat positif.
Antaranya Man Wei Chong-Kai Wun Tee, Junaidi Arif-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai.
Semalam, BAM membuat kejutan apabila mengumumkan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen akan meninggalkan kem badminton negara pada 13 Januari depan.
Ini bermakna, tugasan terakhir beliau adalah di Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 7 hingga 12 Januari ini. – MalaysiaGazette