Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

KUALA LUMPUR – Pertikaian terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu, secara tidak langsung dianggap mempersoal Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik beliau.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pelantikan Musa sudah melalui tapisan ketat (proses vetting) pihak Istana Negara.

“Tuduhan kononnya Musa terlibat dengan rasuah adalah berat dan serius,” ujar beliau dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Menurut Abdul Rahman, ketiga-tiga entiti iaitu mahkamah, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berpendirian bahawa pemimpin Sabah itu tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah.

“Saya yakin pembebasan TMA (Musa) oleh ketiga-tiga entiti ini telah menjadi asas utama kepada proses `vetting’ atau tapisan ketat yang telah dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan pelantikan TMA sebagai TYT,” ujar beliau.

Dalam kenyataannya, Abdul Rahman berkata, Seri Paduka, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah kini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan Musa pada Jun 2020 kerana ketiga-tiganya belum pun memegang jawatan masing-masing ketika itu.

Ujar beliau, asas lain yang diambil kira ialah khidmat Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan negeri itu yang memberangsangkan semasa pentadbiran beliau.

Abdul Rahman turut mempertikaikan dakwaan pihak-pihak bahawa wujud tangan-tangan ghaib mempengaruhi keputusan ketiga-tiga entiti berhubung pelantikan Musa.

Beliau sebaliknya mencadangkan mereka merujuk kepada keputusan Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong berkaitan aduan rasuah terhadap Musa yang dibuat oleh seorang Ahli Parlimen pembangkang (pada waktu itu).

Ujarnya, ICAC adalah antara agensi anti rasuah yang paling dihormati dan disegani di persada antarabangsa.

Menurut Transperancy International (sebuah badan bebas antarabangsa yang berfungsi untuk memantau dan membanteras rasuah di seluruh dunia), reputasi dan profesionalisme kerja ICAC telah menjadi piawaian emas atau `Gold Standard’ kepada agensi pembenteras rasuah di seluruh dunia.

“Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai.

“Untuk makluman, ICAC telah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Musa,” ujar beliau.

Dalam kenyataan itu, Abdul Rahman turut menegaskan tiga perkara untuk memberi konteks kepada ulasan beliau, antaranya rakyat Malaysia berhak memberikan pandangan.

Ujarnya, pandangan itu dilindungi oleh undang-undang negara selagi ia tidak mengandungi unsur-unsur fitnah, tidak melanggar undang-undang dan tidak menghasut terutamanya terhadap institusi diraja.

“Persoalan yang timbul ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak?

“Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, SPRM dan Peguam Negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here