IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah mengenakan tindakan perundangan terhadap 13 peniaga yang ingkar sepanjang tiga Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada tahun ini.
Timbalan Pengarah KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, tindakan itu melibatkan SHMMP Tahun Baru Cina lima kes, SHMMP Hari Raya Aidilfitri (tujuh kes) dan SHMMP Deepavali (satu kes).
Beliau berkata, bagi SHMMP Krismas, seramai 197 penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik sekitar Perak sepanjang lima hari bermula hari ini.
“Antara lokasi tersebut adalah pasar awam, pasar tani dan pusat membeli belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.
Hadir sama Pengurus Mydin Wilayah Utara, Kuldipjeet Singh.
Dalam pada itu, Mohamad Kamarol berkata, sepanjang sesi walkabout tersebut didapati harga barangan terkawal di pasar raya besar ini dijual lebih murah daripada harga yang ditetapkan KPDN.
“Kebanyakan item yang dijual di bawah harga yang dikawal. Pasar raya besar tersebut turut memaklumkan jika mereka mendapat barang dalam harga yang murah, mereka akan jual lebih murah dari harga yang sepatutnya.
“Jadi, pasar raya besar ini akan mengekalkan harga murah dan mampu milik kepada pengguna terutamanya yang meraikan perayaan Krismas.
“Bagaimanapun, tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 jika peniaga gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” ujarnya.
Barangan yang terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China), cili merah, bawang mereh besar import, bawang kuning besar dan lobak merah. – MalaysiaGazette