KUALA LUMPUR – Sebanyak 34 barangan bernilai RM902,012.46 termasuk sebuah kereta jenama Haval milik pelakon, Rozita Che Wan akan dilelong di kediamannya di Kota Damansara, jam 10.30 pagi, esok.
Selain kenderaan, barangan lain seperti peti ais, pendingin hawa, ketuhar, gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, vakum, televisyen dan perabot akan turut dilelong.
Dokumen perincian berkenalan jualan barangan milik Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta itu telah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Sesi lelongan itu pula akan dijalankan oleh Auctrade Auctions Solution.
Sebelum ini, media melaporkan kediaman milik pelakon berusia 51 tahun itu telah diserbu pegawai Mara, peguam dan wakil mahkamah pada 10 Disember lalu kerana berhutang sebanyak hampir RM1 juta,
Che Ta dikatakan telah melakukan pinjaman sebanyak RM960,000 daripada Mara pada tahun 2017 tetapi tidak membuat sebarang bayaran semula.
Disebabkan itu, Mara dalam proses memfailkan bankrap terhadap beliau dan anak sulungnya, Ammar Effendy sebagai penjamin. – MalaysiaGazette