Mahkamah Muar.

MUAR – Enam sekawan termasuk dua lelaki yang bakal bertunang Sabtu ini dan berkahwin pada Mei depan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tuduhan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap remaja perempuan di Tangkak pada 2019.

Tertuduh, Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, 20; Muhammad Azizi Shamsor Kamar, 23, dan kembarnya, Muhammad Azizan, 23; Muhammad Asraf Rosli, 23; Hafsyal Sufian Kamaluddin, 23, dan Muhammad Hafize Abd Rahim.

Mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah rumah Tangkak antara pukul 1.30 hingga 2 pagi pada 20 Januari 2019.

Sehubungan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa ketika itu bertandang ke rumah seorang daripada kenalan lelaki berkenaan sebelum berehat dalam bilik tingkat atas rumah.

Ketika itu, terdapat sembilan lelaki di rumah terbabit dan mereka secara berdua-dua naik ke tingkat atas sebelum melakukan perkara itu.

Bagaimanapun, mangsa tidak tahan dengan perbuatan mereka bertindak menangis dan menjerit hingga didengari jiran di kawasan rumah.

Jiran kemudian keluar rumah sebelum dimaklumkan mangsa dia dicabul tertuduh.

Susulan itu, jiran menghubungi polis sebelum kesemua tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap setiap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa ataupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam semua tertuduh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here