KUALA LUMPUR – Seramai 198 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Pekan Nanas telah dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal KLIA 1, KLIA 2 dan Terminal Feri Stulang Laut, semalam.
Kesemua PATI yang dihantar pulang melibatkan 85 warga Indonesia, 75 warga Myanmar, 25 warga Bangladesh, sembilan warga Nepal dan empat warga Kemboja.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, tahanan hanya dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara di atas pelbagai kesalahan termasuklah kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Nama mereka telah disenarai hitamkan di salam sistem dan tidak dibenarkan masuk ke negara ini mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Dokumen perjalanan sementara untuk pemindahan mereka ke negara asal telah dikeluarkan pihak kedutaan negara masing-masing,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Rusdi menambah, kos menghantar pulang PATI dibiayai sepenuhnya simpanan peribadi tahanan, sumbangan ahli keluarga dan bagi kes tertentu, ditanggung pihak kedutaan negara.
“Segala urusan seperti pembelian tiket dan sebagainya telah dilakukan di Kaunteri Perkhidmatan yang disediaa di Depot Imigresen Pekan Nanas, Johor dan tiada sebarang cas dikenakan.
“Selain itu, kami juga tidak menggalakkan penggunaan orang tengah dalam urusan menghantar pulang tahanan,” tambahnya.
Pihaknya juga akan terus komited mengatasi masalah lambakan warga asing di negeri itu dan memastikan tahanan dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara. – MalaysiaGazette