KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut, manakala suami dan dua anaknya cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Iramanis, Jalan Lintas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 9 malam melibatkan dua buah kereta.
“Ketika kejadian, kereta Honda Accord yang dipandu suami mangsa berusia 61 tahun itu telah bergesel dengan sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam parit.
“Akibat kejadian itu, mangsa, Sarimah Junail, 56 yang duduk di tempat penumpang hadapan kereta Honda Accord telah tercampak keluar sejauh 50 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Agustavia, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Manakala, tiga lagi mangsa iaitu suami,dua anak lelaki mereka yang masing-masing berumur 15 dan 23 tahun telah cedera dan dikejarkan ke hospital.
“Mereka telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Selain itu, dua lagi mangsa yang berada di dalam Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Operasi menyelamat yang dilakukan telah tamat pada jam 10.15 malam selepas memastikan tiada ancaman bahaya lain. – MalaysiaGazette