KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi akan menjadi medan tahap kesetiaan terhadap parti-parti yang membentuk Kerajaan Madani.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, PRN Sabah akan memperlihatkan sama ada parti-parti dalam Kerajaan Madani mempunyai kesefahaman antara satu sama lain.
“PRN Sabah menguji sama ada setiap parti mendengar antara satu dengan lain. Khususnya BN-PH dengan GRS atau BN-PH dengan Warisan.
“Umum mengetahui UMNO kurang mesra dengan GRS dan PH pula kurang mesra dengan Warisan,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, aspek kesetiaan pada parti akan menentukan sama ada Kerajaan Perpaduan boleh mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Mohd Puad, pandangan yang dilontarkan oleh Ahmad Zahid mengenai pentingnya kesetiaan antara parti dalam komponen adalah tepat.
Ini berdasarkan pengalaman UMNO dalam Barisan Nasional serta kerjasama dengan Pas yang pernah bersama-sama dalam satu kerajaan.
“Amat tepat bila Zahid menegaskan sila dengar pandangan BN jika mahu kerajaan perpaduan ini kekal hingga ke PRU 16.
“UMNO khususnya, amat mengutamakan kesetiaan berpolitik. Sebab itu BN kekal selepas 50 tahun walaupun perbezaan pendapat ada kalanya tegang
“Sebab itu juga UMNO tidak boleh kekal lama dengan Pas dan Bersatu. Dua kali perkahwinan UMNO dengan Pas berakhir dengan perceraian iaitu masa Pas sertai BN 7 Mac 1974 dan membentuk Muafakat Nasional,” katanya.
Ahmad Zahid semalam memberikan jaminan bahawa UMNO dan BN sebagai parti komponen, akan terus memberi komitmen sepenuhnya bersama Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan juga berpeluang untuk terus mengekalkan kemenangan pada PRU16 itu, jika aspek kesetiaan pada parti dan usaha menyatuni rakyat terus diberikan keutamaan.-MalaysiaGazette