Ahmad Maslan

BANGI – Nilai projek berkaitan lebuh raya yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera gred pendaftaran G7 ke G1 setakat suku ketiga 2024 mencapai RM15.09 bilion, hampir menyamai nilai projek yang diagihkan kepada golongan itu pada tahun lepas iaitu RM15.10 bilion.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, RM335 juta telah dianugerahkan kepada 1,631 syarikat bumiputera G1 tahun ini, berbanding RM333 juta yang diterima oleh 1,585 syarikat G1 pada tahun lepas.

“Ini menunjukkan peningkatan dalam penglibatan syarikat bumiputera dalam projek-projek lebuh raya, yang mencerminkan kemampuan dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara,” katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Matchmaking Persatuan Kontraktor Bumiputera Bersama Syarikat Konsesi Lebuh Raya di bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Maslan berkata program matchmaking pada hari ini bertujuan meningkatkan penyertaan kontraktor bumiputera dalam projek berkaitan lebuh raya pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here