Foto: FB Sabah Football Club

KOTA KINABALU – Sabah FC berjaya mengesahkan slot separuh akhir Piala Malaysia bertemu Sri Pahang FC apabila mencatat agregat 1-0 dalam saingan suku akhir menentang Kuching City FC.

Pada perlawanan kedua suku akhir malam ini, Sabah FC hanya mampu seri 0-0 menentang pasukan jiran Borneo itu di Stadium Likas di sini.

Perlawanan malam ini menyaksikan Kuching City FC lebih banyak mengatur gerakan serangan, namun pertahanan Skuad Badak yang dikemudi kapten Dominic Tan kental menyerap asakan pasukan pelawat itu.

Sabah FC gusar pada minit ke-51 apabila penjaga golnya Damien Lim dikatakan menjatuhkan Jordan Mintah dalam kotak penalti, namun pengadil Suhaizi Shukri tidak memberikan sepakan penalti selepas melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Suku akhir pertama pada 15 Disember di Stadium Negeri, Sarawak menyaksikan Sabah FC mencatat kemenangan 1-0 menentang Kuching City FC, dengan gol jaringan Muhammad Farhan Roslan.

Semalam Pahang FC yang layak ke separuh akhir selepas mengatasi Perak FC dengan agregat 4-3, sementara satu lagi saingan menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim FC bertemu Terengganu FC. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here