KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Publisiti Kebangnsaan DAP Hannah Yeah tidak berputus asa selepas gagal dalam saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Dalam satu hantaran ringkas di platform X, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlien Segambut berkata, beliau akan mencari ‘keadilan’ di Mahkamah Rayuan.
“Sekarang saya akan pergi ke Mahkamah Rayuan untuk mencari keadilan,” katanya ringkas sambil berkongsi laporan berita mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan terhadap Musa.
Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Hannah mendakwa, kenyataan Musa menuduhnya menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, bagaimanapun menolak saman berkenaan dan memerintahkan Hannah selaku plaintif untuk membayar kos RM40,000.
Arziah mendapati Menteri Belia dan Sukan itu gagal membuktikan kenyataan terbabit secara keseluruhan merujuk kepada beliau dan Musa (defendan) bertanggungjawab atas penerbitannya.
Arziah dalam penghakiman berkata, walaupun wacana awam mesti seimbang antara perlindungan dengan reputasi, mahkamah mendapati Hannah gagal membuktikan Musa mempunyai niat jahat dan kenyataan dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Beliau berkata, majlis forum itu dilindungi keistimewaan dan Musa mempunyai alasan munasabah dalam kenyataannya berdasarkan pengakuan serta penulisan Yeoh dalam buku terbabit.
Arziah berkata, forum itu dianjurkan oleh Kursi Institut Majlis Raja-Raja UiTM dan dengan itu mempunyai kredibiliti institusi.
Manakala Musa sebagai bekas Ketua Polis Negara pula ada tanggungjawab moral serta sosial untuk bercakap mengenai perkara membabitkan negara. – MalaysiaGazette