KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melangkah ke hadapan dalam usaha memperkasa ilmu warisan Islam melalui kerjasama strategik dengan Aslein Malaya Sdn. Bhd.
Kerjasama ini bertujuan mempromosikan penyelidikan, penerbitan, dan inisiatif akademik dalam bidang kajian Turath Islam dimeterai dalam Memorandum Perjanjian (MoA), baru-baru ini.
Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kerjasama bermakna bagi mencapai misi universiti yang mengintegrasikan ilmu Naqli (wahyu) dan Aqli (akal).
“Kerjasama antara USIM dan Aslein Malaya ini bukti komitmen bersama untuk memperkasa ilmu warisan Islam. Bersama-sama, kita berusaha memperkukuhkan penyelidikan, penerbitan, dan wacana intelektual dalam bidang penting ini,” katanya.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada lima inisiatif utama, termasuk pelantikan Sheikh Dr. Saeed Abdul Latif Fudah sebagai Fellow Kehormat di Pusat Ilmu Warisan Islam (U-KIT) USIM, program Kalam Ambassador untuk melatih pelajar berbakat, projek penyelidikan bersama, diskusi intelektual, dan penerbitan buku.
Penubuhan U-KIT pada Februari 2024 menunjukkan kesungguhan USIM dalam memajukan ilmu Turath Islam. Di bawah pimpinan Ustaz Muhammad Aizuddin Abdul Aziz, pusat ini aktif menjalankan penyelidikan, pengajaran, dan aktiviti perundingan untuk mempromosikan kajian dan pemeliharaan warisan Islam.
“Penubuhan U-KIT adalah satu langkah penting bagi USIM. Kami komited memastikan ilmu warisan Islam terus berkembang. Dengan sokongan rakan kongsi seperti Aslein Malaya, kita mampu mencapai pengiktirafan antarabangsa dalam bidang ini,” tambah beliau.
Kerjasama ini dijangka membuka peluang besar kepada kedua-dua pihak untuk memberi sumbangan bermakna dalam landskap ilmu warisan Islam di peringkat global.
Dengan projek yang telah dirancang, perjanjian ini menjadi permulaan kepada perjalanan yang menjanjikan kecemerlangan akademik dan budaya, sekali gus menyerlahkan komitmen USIM untuk membina hubungan strategik yang berimpak, menghubungkan dunia akademik dan industri sambil memperkayakan ekosistem ilmu. – MalaysiaGazette