Mangsa maut (dari kiri), Khairul Ikhwan, Fadzlenna, Ramli, Noorisnien, Lamrah Asid dan Fauziah.

MELAKA – Identiti dua lagi mangsa maut dalam nahas ngeri membabitkan lima kenderaan yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi dikenal pasti sebagai Fauziah Jaafar, 69 dan pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, Fauziah adalah isteri kepada Ramli Ab Wahab, 66,
selain anak mereka Fadzlenna Ramli, 32, yang turut terkorban dalam nahas kira-kira pukul 8.45 malam itu.

Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di KM 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi berpunca dari tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, Lamrah Asid adalah penumpang bas persiaran yang datang dari arah utara ke selatan, sebelum terbabas akibat melanggar tayar sebuah lori yang tercabut di lorong tengah lebuh raya.

“Ini menjadikan kesemua tujuh identiti mangsa yang maut sudah lengkap iaitu pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, yang juga suami Fadzlenna, Khairul Izwan Mazupi, 32 dan anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2.

“Turut terkorban adalah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keadaan MPV yang remuk tersepit antara bas dan treler yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga dan sebuah Perodua Bezza.

Ashari dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

“Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai telah tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya.

“Akibatnya, pemandu bas persiaran itu telah melanggar tayar berkenaan mengakibatkannya hilang kawalan sehingga terbabas ke laluan bertentangan,” katanya.

Kesan tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton yang tercabut.

Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah Perodua Bezza menyebabkan ia terbabas ke lorong kiri dan melanggar penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah treler dan MPV jenis Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here