Nur Aqila menunjukkan gambar kenangan keluarga abang dan kakak iparnya serta anak saudaranya yang maut dalam nahas itu.

ALOR GAJAH – “Waktu berjumpa dengan saya pagi Sabtu lalu sebelum abang dan kakak ipar bertolak ke Melaka untuk majlis perjumpaan keluarga, Muhammad Umar, 2, begitu bersungguh melambai saya sehingga hilang dari pandangan.

“Tak sangka rupanya itu adalah lambaian terakhirnya,” kata Nur Aqila Mazupi, 30.

Wanita itu adalah adik kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32 tahun yang maut dalam nahas ngeri mengorbankan tujuh individu di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi.

Anggota polis menyusun mayat-mayat yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di di KM 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, malam tadi.

Menurutnya, kejadian menyayat hari itu berlaku ketika abang dan kakak iparnya masing- masing merupakan pembantu perubatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Serdang dalam perjalanan pulang ke Selangor selepas meluangkan masa bersama keluarga kakak iparnya itu.

“Saya mengetahui kejadian nahas selepas melihat berita sebelum menghubungi polis untuk mengesahkan nombor plat kenderaan serta jenis kereta dinaiki.

“Tidak sangka pula majlis sambutan hari jadi ketiga-tiga anak saudara saya itu yang diraikan dalam satu majlis dua minggu lalu seperti memberi petanda sedangkan sebelum ini tidak pernah diraikan begitu,” katanya hiba ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam tadi, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, MPV dan sebuah Perodua Bezza.

Turut terkorban adalah isteri Khairul Izwan, Fadzlenna Ramli, 32, bapanya, Ramli Ab Wahab, 66, anak pasangan berkenaan, Muhammad Umar, 2, serta penumpang MPV yang belum dikenal pasti identitinya.

Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, parah manakala Nur Sofea Humaira, 4, cedera ringan dan dirawat di Hospital Melaka.

Nahas itu turut mengorbankan pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, serta penumpang bas persiaran itu yang belum dikenal pasti identitinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here