Tangkap layar dua kumpulan penyokong bola sepak bergaduh di stesen LRT Tasik Selatan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan dua lelaki tempatan berumur 22 dan 24 tahun dí kediaman masing-masing berhubung insiden pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi pada malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis memandang serius berhubung kejadian in dan menyeru orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, pada 21 Disember lalu, polis menerima menerima satu video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di stesen LRT itu melibatkan dua  kumpulan penyokong bola sepak yang bertindak agresif sehingga menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit ketika kejadian itu.

Dalam video yang tular itu, seramai 20 hingga 30 individu dikesan melakukan rusuhan di  Stesen LRT Bandar Tasik Selatan ketika tren tiba di platform terbabit.

Terdapat sekumpulan penyokong bola sepak telah keluar daripada tren dan berlakunya pertengkaran di antara penyokong kumpulan lain menyebabkan pergaduhan berlaku.

Mereka bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.

Insiden menyebabkan kerosakan di bahagian pintu cermin tren dan menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit sebelum pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meleraikan pergaduhan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast