MELAKA – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dilapor bakal mengalami rombakan pada Januari akan datang.
Sinchew Daily melaporkan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak berpuas hati dengan prestasi Exco tertentu selain mahu menaikkan pangkat wakil rakyat yang lain.
Susulan daripadanya, portfolio Exco tertentu juga akan mengalami perubahan.
Sumber berkata, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mungkin akan dinaikkan kedudukannya sebagai Exco kanan.
Pada masa ini, satu-satunya Exco kanan yang ada ialah Datuk Rais Yasin yang memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.
Dalam pada itu, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dijangka dilantik sebagai Exco.
Seorang lagi wakil rakyat yang berpeluang dilantik menjadi Exco ialah Datuk Khaidirah Abu Zahar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim.
Dalam pada itu, jawatan Exco untuk wakil rakyat MCA, DAP dan MIC dijangka tidak akan terjejas dalam rombakan. – MalaysiaGazette