KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) melancarkan kempen tanda tangan yang bertujuan untuk menghapuskan fi pengeluaran tunai RM1 di ATM antara bank yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia.
Kempen ini bertujuan untuk mengumpul satu juta tandatangan yang akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan, menyoroti
kesan fi ini terhadap golongan berpendapatan rendah.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, walaupun RM1 mungkin tidak kelihatan besar bagi ramai orang, jumlahnya akan bertambah dari masa ke masa dan ini menjadi beban kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, kempen ini akan dilaksanakan secara dalam talian melalui laman web rasmi NUBE dan Change.org, serta melalui interaksi dengan masyarakat di seluruh negara.
Solomon berkata, kempen ini dilancarkan pada masa ramai rakyat Malaysia merasai tekanan kewangan dan terkesan dengan fi RM1 ini.
“Ia adalah satu ketidakadilan bagi PayNet untuk terus meraih keuntungan berjuta-juta ringgit dengan mengenakan fi RM1 untuk pengeluaran ATM dari bank selain bank yang mengeluarkan kad.
“Pada tahun 2023 sahaja, PayNet melaporkan hasil kasar sebanyak RM544 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM271 juta,” ujarnya. Golongan kaya semakin kaya, sementara golongan miskin terus menderita.
“Dalam masa-masa sukar seperti ini, setiap sen adalah penting,” katanya dalam satu kenyataan di sini sambil menambah NUBE komited untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah. – MalaysiaGazette